Tuesday 25 September 2012

Rawat cara ganas, 'pesakit' lari keadaan kaki berantai

KUALA TERENGGANU - Rahsia sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di kawasan pantai Peranginan Merang, Setiu, yang mengamalkan sistem rawatan pemulihan dadah secara ganas kepada ‘pesakit’nya, terbongkar petang kelmarin.

Ia susulan penahanan salah seorang daripada ‘pesakit’ di situ yang nekad melarikan diri ke dalam semak berhampiran sebuah chalet di kawasan pantai peranginan itu dalam keadaan kaki masih berantai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ternampak kelibat lelaki berkenaan, kira-kira jam 6 petang.

“Susulan panggilan itu, kami terus bergegas ke lokasi dimaksudkan dan berjaya menahan lelaki berusia 35 tahun itu di dalam semak berhampiran.

“Setelah disoal siasat, lelaki berkenaan mendedahkan dia melarikan diri dari sebuah pusat pemulihan dadah persendirian yang beroperasi di kawasan itu, disebabkan tidak tahan dengan ‘keganasan’ sistem rawatan diperkenalkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut Manoharan, sejurus menerima maklumat daripada lelaki itu, sepasukan anggota dan pegawai polis menyerbu pusat pemulihan dadah itu dan mendapati dua lagi lelaki berusia 26 tahun dan 30 tahun dikurung di dalam sebuah bilik dengan kaki masing-masing masih terikat.

“Kami telah menahan penjaga pusat pemulihan dadah persendirian terbabit yang berusia 24 tahun kira-kira jam 10 malam manakala pemilik pusat itu yang berusia 58 tahun, menyerah diri di IPD Setiu kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas gari, rantai dan peralatan yang digunakan untuk mengikat mangsa,” katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga mangsa yang diikat termasuk lelaki yang melarikan diri itu membuat laporan di IPD Setiu, jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi berikutan tidak tahan dengan cara rawatan yang diterima mereka.

Manoharan menjelaskan, siasatan mendapati pusat terbabit menawarkan rawatan pemulihan dadah berpakej dengan mengenakan sejumlah bayaran yang ditetapkan kepada individu yang menerima rawatan di pusat itu.

“Kami difahamkan ahli keluarga turut dibenarkan menetap di kawasan pusat berkenaan sementara menunggu ahli keluarga mereka menerima rawatan dalam tempoh ditetapkan.

“Kita faham niat murni pengusaha pusat itu untuk memulihkan penagih dadah namun cara dan pendekatan yang mereka perkenalkan itu tidak menepati peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah dan polis akan melihat aspek lain termasuk pusat pemulihan terbabit mempunyai kebenaran daripada pihak tertentu untuk menjalankan operasi mereka.

No comments:

Post a Comment