Wednesday 26 September 2012

Muncul selepas ghaib 18 hari


CHANGKAT LADA – “Fikiran saya kosong, saya hanya menunggang motosikal ini ikut kata hati, sedar-sedar sudah ada di tempat lain,” demikian pengakuan Mohd Razali Bidin, 46, yang dipercayai menghilangkan diri bersama anak tunggalnya, Mohd Izani, 7.
Mereka yang dipercayai ‘ghaib’ selepas keluar dari rumah di Changkat Lada, di sini, 1 September lalu selamat pulang dengan beberapa kesan kecederaan, 19 September lalu.
Mohd Razali berkata, pada hari kejadian, dia bersama anaknya menunggang motosikal Honda Wave ke arah Ipoh untuk menyelesaikan beberapa tuntutan Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah isteri, tanpa menyedari perjalanannya masuk ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
“Selepas selesai urusan itu, saya memang nak terus pulang ke rumah, tetapi tidak tahu bagaimana saya masuk ke lebuh raya dan terus memandu seperti tidak ada arah tujuan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya, di sini.
Perjalanan yang tidak dirancang itu akhirnya membawa Mohd Razali dan anaknya ke Kuala Lumpur.
“Sedar-sedar saya sudah sampai di Kuala Lumpur, disebabkan penat dan lenguh badan, kami menumpang tidur di masjid dan surau sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.
Perjalanan dua beranak itu tidak berakhir di situ apabila dengan bekalan sedikit wang yang ada, mereka meneruskan ‘konvoi’ motosikal ke Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan sebelum singgah di Perlis, Kedah dan kembali menemui jalan pulang ke Perak.
Lebih mengejutkan, meter motosikal yang baru dibeli lima bulan lalu itu sudah mencecah 16,000 kilometer.
Tak fasih membaca
MOHD Razali berkata, keadaan dirinya yang tidak begitu fasih membaca menyebabkan dia nekad meneruskan perjalanan bersama anak hanya mengikut gerak hati.
Katanya, ketika itu, tidak timbul perasaan takut atau gentar kerana hasratnya hanya satu, semoga perjalanan yang ditempuh itu akan menemukannya kepada jalan pulang.
“Saya sendiri tidak tahu membaca, jadi saya ambil keputusan, ikut sahaja laluan yang ada dan tidak kisah sampai di mana sekalipun,” katanya.
Mohd Razali berkata, sepanjang tempoh perjalanan mereka selama hampir tiga minggu itu, anaknya sering menangis kerana keletihan.
“Saya hanya mampu memujuknya supaya bersabar, memang saya ada berhubung dengan saudara mara lain melalui telefon, namun talian tidak jelas, malah pencarian mereka di lokasi yang saya katakan tidak menemukan kami,” katanya.
Surau, masjid jadi rumah kedua
SEPANJANG penjelajahan itu, Mohd Razali berkata, surau dan masjid menjadi ‘penginapan’ mereka setiap malam.
Menurutnya, menyedari wang yang dimiliki RM200 tidak mencukupi untuk menampung makan dan minum mereka, dia yang kebetulan membawa buku akaun mengeluarkan wang sebanyak RM600 untuk perbelanjaan.
“Bila lapar, kami singgah makan di kedai dan apabila penat kami rehat di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai.
“Sepanjang hidup, inilah kali pertama saya pergi ke tempat-tempat yang jauh, kerana sebelum ini saya hanya pernah ke Selangor bersama arwah isteri,” katanya.
Dua kali kemalangan
PENGALAMAN yang paling tidak dilupakan Mohd Razali apabila terbabit dalam dua kemalangan menyebabkan mereka mengalami luka ringan.
Katanya, mereka juga beberapa kali terpaksa menolak motosikal apabila mengalami tiga kali tayar kenderaannya, pancit.
Menurutnya, kali pertama berlaku atas kecuaian sendiri apabila dia terbabas ke laluan tepi dan kali kedua, kenderaan mereka dirempuh kereta dari arah belakang.
“Mujurlah kami tidak alami luka parah, hanya luka di siku dan pinggang sementara anak saya luka di lutut,” katanya.
Mohd Razali kini sudah serik pergi ke tempat yang tidak pernah dikunjungi kerana bimbang kejadian sama berulang lagi.
“Selepas ini, biarlah saya hanya meronda-ronda di kawasan ini sahaja, jika ada keperluan untuk ke tempat lain, saya akan minta bantuan orang lain,” katanya.
Bukan sebab rindukan isteri
KETIKA ditanya pemberita, adakah tindakannya itu ada kaitan dengan kehilangan isterinya, Mohd Razali berkata, sememangnya dia merindui arwah isterinya, namun pemergiannya bersama anaknya selama tiga minggu bukan didorong faktor berkenaan.
Katanya, perjalanan yang dilaluinya itu bukan kerana sedih atau mahu membuang perasaan rindu, tetapi tersesat jalan disebabkan tidak fasih membaca.
“Saya sendiri tidak mengetahui bagaimana saya boleh melakukan perkara ini sehingga membawa saya pulang semula ke rumah.
“Detik 19 September tidak akan saya lupakan kerana pada hari itu saya sudah sampai di Perak dan berjaya mencari jalan pulang setelah hampir tiga minggu berkelana,” katanya.
Isterinya, Om Abdullah, 46, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah meninggal dunia 28 Ogos lalu akibat sakit lelah yang dialaminya sejak setahun lalu.
Mohd Razali kini meneruskan kehidupan bersama anak tunggalnya dengan bekerja mengambil upah mengutip buah sawit.
Dia yang sebelum ini tidak bekerja mengambil keputusan untuk memulakan kerja bagi memastikan masa depan anaknya terjamin.
“Sebelum ini saya tidak bekerja kerana perlu menghantar dan mengambil arwah isteri, sebab dia tidak pandai menunggang motosikal,” katanya yang dibayar gaji mengikut jumlah guni buah sawit yang dapat dikutipnya iaitu satu guni RM3.

No comments:

Post a Comment