Sunday 23 September 2012

KUALA TERENGGANU- Mengugut mencederakan bapa sendiri...


KUALA TERENGGANU - Bengang kehendaknya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan oleh si bapa, seorang buruh tergamak mengugut bukan sahaja akan mencederakan bapanya, malah akan mencederakan semua ahli keluarga termasuk ibu dan adik-beradik.

Bagaimanapun, perbuatan buruh, Zapri Razali, 23, menerima pembalasan setelah dikenakan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas Zapri mengaku dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan cedera kepada bapanya, Razali Muda, 59, pada 10 Ogos lalu kira-kira jam 11 malam.

Zapri mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun yang sama itu di kediaman mereka di Kampung Gong Pak Maseh, di sini.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala Zapri tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Zapri telah meminta sejumlah wang daripada bapanya yang ketika itu sedang berehat di rumah mereka iaitu kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun, permintaannya tidak diendahkan malah si bapa memarahinya kerana kerap meminta wang, sedangkan dalam masa sama, dia bekerja dan memiliki gaji tetap.

Zapri yang tidak tahan mendengar bebelan bapanya, naik angin lalu mengamuk merosakkan keseluruhan harta benda di dalam rumahnya termasuk mencampakkan barangan elektrik.

Selain itu, Zapri turut mengugut akan mencederakan seisi keluarga yang berada di dalam rumah itu termasuk kedua orang tuanya.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan keesokannya iaitu 11 Ogos kira-kira jam 1 tengah hari, Zapri ditahan ketika berada di rumahnya.

No comments:

Post a Comment