AWEK 16 TAHUN HAMIL DITINGGAL KEKASIH DAN DIUSIR KELUARGA | KULIM
– Kerana ditipu kekasih, seorang remaja berusia 16 tahun kini terpaksa
menanggung masalah dihadapi sendirian setelah doktor mengesahkannya
hamil.
Lebih mengecewakan, kekasihnya berusia
17 tahun yang sebelum ini berjanji akan menikahinya bersikap lepas
tangan dan menuduh anak dalam kandungannya itu milik orang lain.
Dia, yang hanya ingin dikenali sebagai
Mimi berkata, kejadian berlaku di rumah teman lelakinya apabila
kedua-dua mereka bertindak ponteng sekolah.
Katanya, memandangkan tidak ada wang
dan tempat untuk pergi, teman lelakinya mempelawa balik ke rumahnya
untuk berehat sehingga tamat waktu sekolah.
“Pada mulanya saya memang takut untuk
melakukan hubungan seks dengan kekasih saya itu. Saya bimbang sekiranya
mengandung, namun termakan dengan pujuk rayunya, saya bersetuju untuk
melakukan perbuatan sumbang itu bersamanya.
“Sebagai pelajar sekolah, saya masih
tidak tahu apa-apa tentang hamil, walaupun saya sudah tidak datang haid
selama empat bulan. Sehinggalah pada bulan kelima, saya rasa seperti ada
sesuatu bergerak dalam perut.
“Saya kemudiannya pergi ke klinik
untuk menjalani ujian air kencing dan doktor mengesahkan saya hamil.
Saya cuba hubungi kekasih saya itu tetapi dia sudah menukar nombor
telefon,” katanya.
Memandangkan keadaan perutnya yang semakin membesar, Mimi kemudiannya memaklumkan kejadian yang berlaku kepada keluarganya.
Malangnya, keluarga mengusirnya keluar
dari rumah kerana rasa terhina dengan perlakuannya. Mimi kemudiannya
pergi berjumpa seorang rakan dan menceritakan masalah dialaminya. Kerana
simpati, rakannya itu membenarkan Mimi tinggal di rumah sewanya
sehinggalah dia bersalin.
“Ketika dalam pantang, saya didatangi
sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Mereka meminta
kebenaran untuk menjaga anak saya. Saya tidak ada pilihan lain selain
menyerahkan bayi perempuan saya kepada mereka.
“Saya tidak berniat untuk menjualnya,
tetapi kerana ketiadaan wang, saya terpaksa meminta RM1,500 daripada
pasangan itu,” katanya.
Katanya, kerana cinta dia hilang
keluarga, anak dan sekolah dan berharap golongan remaja lain menjadikan
apa yang berlaku kepadanya sebagai iktibar.
“Kerana terlalu sayang seorang lelaki
yang masih mentah dan terlalu taksub pada cinta, akhirnya saya tinggal
berseorangan. Ingatlah usia muda hanya datang sekali dan jangan kita
sia-siakannya,” katanya
No comments:
Post a Comment