Tuesday 25 September 2012

KUALA TERENGGANU- PADAH GIGIT JARI POLIS...


KUALA TERENGGANU - Padah gigit jari polis, seorang buruh terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua minggu dan dikenakan denda RM1,000 atau sebulan lagi penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan, selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Nizar Musa, 32, dari Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan menggigit jari seorang anggota polis berpangkat Konstabel ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, Muhammad Sahal Saufi menjalankan tugasnya di Jalan Pulau Manis, di sini, kira-kira jam 4.15 petang, 21 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Nizar yang ketika itu menunggang motosikal Yamaha Lagenda ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Pulau Manis, Manir, di sini.

Bagaimanapun, Mohd Nizar yang ketakutan, cuba melarikan diri ketika polis meminta menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu sebelum berlaku pergelutan antara dia dan mangsa.

Dalam pergelutan itu, mangsa cedera di jari kelengkeng selepas digigit sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment