Sunday 23 September 2012

KUALA TERENGGANU - Tiga beradik mengaku saling bekerjasama melakukan dua jenayah pecah rumah dan satu jenayah curi motosikal


KUALA TERENGGANU - Tiga beradik mengaku saling bekerjasama melakukan dua jenayah pecah rumah dan satu jenayah curi motosikal sepanjang Ogos lalu di sekitar kawasan Tepoh, di sini.

Kegiatan ketiga-tiga beradik ini, Azani Ibrahim, 26, Shamsudin, 25, dan Mohd Tamizi, 23, dari Kampung Banggol Binjai, Tepoh, di sini, yang berkongsi ‘hobi’ sama terbongkar selepas mereka mengaku di Mahkamah Majistret semalam, melakukan kesemua jenayah itu.

Susulan pengakuan bersalah itu, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara selama 36 bulan dan denda RM9,000 terhadap mereka selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu dua pertuduhan pecah rumah dan satu pertuduhan mencuri sebuah motosikal.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga beradik itu mengaku melakukan pecah rumah dan mencuri enam bentuk cincin emas, dua buah telefon bimbit, seutas jam tangan dan wang tunai RM2,800 milik Mamat Abdullah, 62, pada 15 Ogos lalu kira-kira jam 8.20 malam hingga 10 malam di kediamannya di Kampung Banggol Binjai, Tepoh, di sini.

Bagi kesalahan itu, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan dan denda RM5,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Ketiga-tiga beradik itu mengaku mengulangi jenayah sama dengan melakukan pecah rumah dan mencuri seutas rantai leher, seutas gelang emas, dua bentuk cincin emas, dua buah telefon bimbit, dua buah komputer riba milik Hasan Ismail, 31, di kediamannya di Kampung Padang Air, Tepoh, di sini.

Mereka mengaku mengulangi kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama itu pada 26 Ogos lalu kira-kira jam 10 malam sehingga 27 Ogos lebih kurang jam 12.05 pagi.

Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara kepada mereka.

Selain itu, tiga beradik yang menganggur itu turut mengaku mencuri sebuah motosikal bernilai RM3,000 semasa melakukan pecah rumah ke atas kediaman Hasan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama itu, mereka dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan dan denda RM4,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Abdul Hayyi memerintahkan kesemua hukuman berjalan berasingan bermula dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala ketiga-tiga beradik itu tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment