Wednesday 26 September 2012

BESUT-Remaja ketua Geng Padang Tapong

Manoharan meninjau rangka motosikal menjadi sasaran dua kumpulan curi motosikal yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Besut


BESUT – Seorang remaja dikatakan anak lelaki ketua kumpulan curi kereta ‘Hassan Budu’ berusia 14 tahun antara tujuh lelaki ditahan kerana dipercayai menjadi ketua sebuah kumpulan mencuri motosikal yang dianggotai remaja dan pelajar sekolah di daerah ini.

Dengan tertangkapnya anggota dua kumpulan berasingan itu di beberapa lokasi di daerah ini turut membawa kepada penemuan 39 buah rangka dan tiga kulit enjin motosikal dipercayai dicuri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Superintendan K Manoharan berkata, anak Hassan Budu dipercayai menjadi ketua  Geng Padang Tapong  yang aktif mencuri motosikal di daerah ini.

Menurutnya, kejayaan polis menangkap dua remaja terbabit di sekitar Kampung Tok Has, Jertih pada 9 September lalu telah membawa penahanan seorang lagi remaja menjadikan keseluruhan yang ditangkap daripada kumpulan itu seramai tiga orang termasuk pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah.

“Tiga suspek dari Geng Padang Tapong yang ditahan itu berusia 14 hingga 16 tahun dan berjaya merampas dua rangka motosikal yang dipercayai motosikal curi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Kamsani Hassan.

Manoharan berkata, polis masih lagi meneruskan siasatan ke atas kumpulan ini dan sedang mengesan tiga individu dikenal sebagai Kimie, Pop dan Nasa bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, sebuah kumpulan lagi dikenal Timur terdiri daripada empat remaja lelaki berjaya ditahan di sekitar Kuala Besut berikutan tertangkapnya salah seorang daripada mereka pada 12 September lalu.

“Hasil penahan suspek Geng Timur telah membawa kepada penemuan 36 rangka motosikal kebanyakannya dari jenis Honda EX-5 dan tiga kulit enjin motosikal yang dibuang di dalam Tali Air Sungai Besut dekat Ampangan Pengairan Pangkalan Nangka, dekat Kuala Besut di sini.

“Kesemua yang ditahan dalam kumpulan kedua ini berusia 18 hingga 20 tahun membabitkan masing-masing seorang pengawal keselamatan dan jurujual di sebuah pasar raya di Kuala Besut, seorang tukang rumah dan penganggur,” katanya.

Beliau berkata, daripada 36 rangka dipercayai motosikal curi termasuk dilaporkan hilang sejak 2006 hingga sekarang.

Kata beliau,  ada antara rangka motosikal yang ditemui itu bukan sahaja yang dilaporkan di negeri ini tetapi juga turut membabitkan yang dilaporkan hilang di Kelantan, Kuantan dan Kuala Lumpur.

Polis turut mengesan dua individu dicari bagi membantu siasatan kes kumpulan Timur itu yang dikenali Nuar dan Idi Semerak.

Menurutnya, modus operandi kedua-dua kumpulan ini adalah mencari sasaran di kawasan beli-belah atau pasar raya yang sibuk dengan pengunjung dan menjadi motosikal Honda EX-5 dan Yamaha RXZ yang tiada kunci tambahan atau tidak dikunci ‘handle’.

“Suspek kemudiannya akan memasukkan kunci pendua berbentuk T ke dalam lubang suis sebelum menghidupkan dan melarikan motosikal tersebut. Suspek hanya mengambil komponen motosikal untuk dijual atau diguna sendiri manakala rangkanya dibuang,” katanya.

No comments:

Post a Comment