CHANGKAT LADA – “Fikiran saya kosong,
saya hanya menunggang motosikal ini ikut kata hati, sedar-sedar sudah
ada di tempat lain,” demikian pengakuan Mohd Razali Bidin, 46, yang
dipercayai menghilangkan diri bersama anak tunggalnya, Mohd Izani, 7.
Mereka yang dipercayai ‘ghaib’ selepas
keluar dari rumah di Changkat Lada, di sini, 1 September lalu selamat
pulang dengan beberapa kesan kecederaan, 19 September lalu.
Mohd Razali berkata, pada hari kejadian,
dia bersama anaknya menunggang motosikal Honda Wave ke arah Ipoh untuk
menyelesaikan beberapa tuntutan Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP)
arwah isteri, tanpa menyedari perjalanannya masuk ke Lebuhraya Utara
Selatan (PLUS).
“Selepas selesai urusan itu, saya memang
nak terus pulang ke rumah, tetapi tidak tahu bagaimana saya masuk ke
lebuh raya dan terus memandu seperti tidak ada arah tujuan,” katanya
ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya, di sini.
Perjalanan yang tidak dirancang itu akhirnya membawa Mohd Razali dan anaknya ke Kuala Lumpur.
“Sedar-sedar saya sudah sampai di Kuala
Lumpur, disebabkan penat dan lenguh badan, kami menumpang tidur di
masjid dan surau sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.
Perjalanan dua beranak itu tidak
berakhir di situ apabila dengan bekalan sedikit wang yang ada, mereka
meneruskan ‘konvoi’ motosikal ke Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan
Kelantan sebelum singgah di Perlis, Kedah dan kembali menemui jalan
pulang ke Perak.
Lebih mengejutkan, meter motosikal yang baru dibeli lima bulan lalu itu sudah mencecah 16,000 kilometer.
Tak fasih membaca
MOHD Razali berkata, keadaan dirinya
yang tidak begitu fasih membaca menyebabkan dia nekad meneruskan
perjalanan bersama anak hanya mengikut gerak hati.
Katanya, ketika itu, tidak timbul
perasaan takut atau gentar kerana hasratnya hanya satu, semoga
perjalanan yang ditempuh itu akan menemukannya kepada jalan pulang.
“Saya sendiri tidak tahu membaca, jadi
saya ambil keputusan, ikut sahaja laluan yang ada dan tidak kisah sampai
di mana sekalipun,” katanya.
Mohd Razali berkata, sepanjang tempoh perjalanan mereka selama hampir tiga minggu itu, anaknya sering menangis kerana keletihan.
“Saya hanya mampu memujuknya supaya
bersabar, memang saya ada berhubung dengan saudara mara lain melalui
telefon, namun talian tidak jelas, malah pencarian mereka di lokasi yang
saya katakan tidak menemukan kami,” katanya.
Surau, masjid jadi rumah kedua
SEPANJANG penjelajahan itu, Mohd Razali berkata, surau dan masjid menjadi ‘penginapan’ mereka setiap malam.
Menurutnya, menyedari wang yang dimiliki
RM200 tidak mencukupi untuk menampung makan dan minum mereka, dia yang
kebetulan membawa buku akaun mengeluarkan wang sebanyak RM600 untuk
perbelanjaan.
“Bila lapar, kami singgah makan di kedai dan apabila penat kami rehat di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai.
“Sepanjang hidup, inilah kali pertama
saya pergi ke tempat-tempat yang jauh, kerana sebelum ini saya hanya
pernah ke Selangor bersama arwah isteri,” katanya.
Dua kali kemalangan
PENGALAMAN yang paling tidak dilupakan
Mohd Razali apabila terbabit dalam dua kemalangan menyebabkan mereka
mengalami luka ringan.
Katanya, mereka juga beberapa kali terpaksa menolak motosikal apabila mengalami tiga kali tayar kenderaannya, pancit.
Menurutnya, kali pertama berlaku atas
kecuaian sendiri apabila dia terbabas ke laluan tepi dan kali kedua,
kenderaan mereka dirempuh kereta dari arah belakang.
“Mujurlah kami tidak alami luka parah, hanya luka di siku dan pinggang sementara anak saya luka di lutut,” katanya.
Mohd Razali kini sudah serik pergi ke tempat yang tidak pernah dikunjungi kerana bimbang kejadian sama berulang lagi.
“Selepas ini, biarlah saya hanya
meronda-ronda di kawasan ini sahaja, jika ada keperluan untuk ke tempat
lain, saya akan minta bantuan orang lain,” katanya.
Bukan sebab rindukan isteri
KETIKA ditanya pemberita, adakah
tindakannya itu ada kaitan dengan kehilangan isterinya, Mohd Razali
berkata, sememangnya dia merindui arwah isterinya, namun pemergiannya
bersama anaknya selama tiga minggu bukan didorong faktor berkenaan.
Katanya, perjalanan yang dilaluinya itu
bukan kerana sedih atau mahu membuang perasaan rindu, tetapi tersesat
jalan disebabkan tidak fasih membaca.
“Saya sendiri tidak mengetahui bagaimana saya boleh melakukan perkara ini sehingga membawa saya pulang semula ke rumah.
“Detik 19 September tidak akan saya
lupakan kerana pada hari itu saya sudah sampai di Perak dan berjaya
mencari jalan pulang setelah hampir tiga minggu berkelana,” katanya.
Isterinya, Om Abdullah, 46, yang sebelum
ini berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah meninggal
dunia 28 Ogos lalu akibat sakit lelah yang dialaminya sejak setahun
lalu.
Mohd Razali kini meneruskan kehidupan bersama anak tunggalnya dengan bekerja mengambil upah mengutip buah sawit.
Dia yang sebelum ini tidak bekerja mengambil keputusan untuk memulakan kerja bagi memastikan masa depan anaknya terjamin.
“Sebelum ini saya tidak bekerja kerana
perlu menghantar dan mengambil arwah isteri, sebab dia tidak pandai
menunggang motosikal,” katanya yang dibayar gaji mengikut jumlah guni
buah sawit yang dapat dikutipnya iaitu satu guni RM3.
No comments:
Post a Comment